Terlibat Nahas Selepas Sahur Di Johol. Kuala Pilah


KUALA PILAH – Dua sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit nahas tiga kenderaan di Kilometer 19.5, Jalan Kuala Pilah-Tampin, berhampiran persimpangan Rumah Rakyat Kuala Johol, di sini.

Dalam kejadian jam 6.25 pagi semalam, mangsa, Aman Shah Zakariya, 33, dan anak saudaranya, Nor Suhaila Nabila Mohd Azizlan, 12, maut di tempat kejadian manakala anak lelakinya, Mohd Shahrul Iqwan, 6, parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Azmi Abdul Rahim berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Viva, sebuah motosikal dan lori membawa muatan 20 tan kelapa sawit.

Menurut Azmi, kereta Perodua Viva dipandu Aman Shah datang dari arah Kuala Pilah selepas bersahur di rumah ibu bapanya di Felda Palong 1 menuju ke arah Kampung Dusun Besar, Melekai, Johol.


Kereta dinaiki mangsa berpusing beberapa kali

Tambahnya, pada masa sama, sebuah lori dari arah Tampin menuju ke Kilang Sawit Serting Hilir dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah motosikal Honda EX5 yang membelok ke kanan di persimpangan itu menuju ke Rumah Rakyat Kuala Johol.

Azmi berkata, lori dipandu Nekmat Awang, 48, bergesel dengan belakang motosikal yang ditunggangi oleh Salbiah Tairi, 49, sebelum merempuh kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga mangsa itu.

“Kereta mangsa berpusing beberapa kali dan akibat pelanggaran itu, Aman Shah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, dan Mohd Shahrul tercampak ke dalam semak manakala Nor Suhaila yang
berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian.

"Malah, Salbiah turut tercampak di atas jalan raya dan hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

"Pemandu lori terbabit di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai serta menyebabkan kematian," katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jaafar Yusof berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota serta sebuah jentera selepas menerima panggilan jam 6.38 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Operasi yang diketuai oleh Adnan Awaludin mengambil masa 15 minit untuk memotong bumbung dan pintu kanan kereta bagi mengeluarkan mangsa tersepit," katanya.


Dengar suara budak menangis

Dalam pada itu, saksi, Ahmad Marzuki Abu Bakar, 27, berkata, dia bersama orang ramai turut membantu mengeluarkan mangsa.

"Saya cuba membantu orang ramai mendirikan kereta yang senget akibat dirempuh lori terbabit. Kami hanya berjaya mengeluarkan kanak-kanak perempuan, tetapi gagal mengeluarkan pemandu kereta kerana tersepit.

“Sedang sibuk mencuba mengeluarkan pemandu itu, saya terdengar suara kanak-kanak menangis di kawasan semak.

“Rupanya ada seorang lagi kanak-kanak lelaki terbaring di dalam semak akibat tercampak. Mujur saya terdengar suaranya, jika tidak mungkin kanak-kanak itu tidak diselamatkan berikutan cuaca masih gelap,” katanya.


Minta beli baju raya awal

Sementara itu, ibu Nor Suhaila, Rozita Zakariya, 37, memberitahu, kali terakhir dia dan suaminya Mohd Azizlan Zahari, 38, bertemu anaknya 2 petang kelmarin selepas menghantar Nor Suhaila bersama Aman Shah serta anaknya, Mohd Shahrul Iqwan ke rumah keluarganya di Felda Palong 1 untuk berbuka puasa.

“Dia memang kerap pergi ke rumah nenek dan datuknya tetapi semalam dia bersungguh-sungguh mahu mengikut pakciknya, Aman Shah ke Felda Palong 1.

“Mereka ada maklumkan akan pulang keesokan harinya (semalam), selepas sahur. Ketika itu saya tidak fikir apa-apa kerana mereka sering ke sana,” katanya.

Rozita berkata, dia menerima panggilan jam 7.40 pagi dari jiran terdekat memberitahu, adik lelaki, anak serta anak buahnya terlibat dalam kemalangan di Kuala Johol.

“Hanya ALLAH sahaja tahu betapa luluhnya hati saya apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas jalan raya.

“Saya sangat terkejut dan sedih kerana kakak (Nor Suhaila) sangat rapat dengan saya memandangkan dia anak sulung dari dua beradik. Malah dia juga cucu sulung dalam keluarga kami.

"Adik pula memang tinggal dengan kami selepas berpisah dengan isterinya. Jadi apa jua perkara kami selalu berkongsi cerita. Sebab itu kami sangat rapat," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hosptal Tunku Ampuan Najihah Kuala Pilah, semalam.

Tambahnya, minggu lepas Nor Suhaila bersungguh-sungguh menyuruh dia membelikan baju raya untuknya.

"Kebiasaannya kami beli agak lewat tetapi tahun ini, kakak bersungguh-sungguh minta saya beli awal tetapi dia tidak sempat memakainya.

“Namun saya reda kerana ALLAH lebih menyayangi mereka.Tambahan pula mereka pergi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," luahnya sayu.

Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Besar, Melekai selepas solat Asar.