Pakaian Datin Paduka Eina Azman Yang...


PETALING JAYA:
Pelakon Eina Azman memberitahu, suaminya, Datuk Paduka Gurmet (Gmix)
Singh, 35, menasihatinya agar tidak lagi berpakaian seksi ataupun
terdedah selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos lalu.

Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, 19, berkata, suaminya
begitu peka soal imejnya sejak bergelar mualaf selain mereka juga mula
mempelajari ilmu agama Islam dengan lebih mendalam.

"Suami memang ada meminta saya untuk berpakaian sopan selepas kami
kahwin. Tidak susah mana pun kerana sebelum ini saya bukannya berpakaian
terlalu terdedah.

"Sebagai seorang wanita yang memegang status isteri juga, saya perlu menjaga nama baik suami dan keluarga," katanya kepada mStar Online.


Tambah Eina, dia juga bersyukur melihat perubahan suaminya yang
bersungguh-sungguh mahu mendalami agama Islam walaupun baru beberapa
bulan bergelar mualaf.

Sehubungan itu mereka bersama-sama mempelajari agama Islam sekurang-kurangnya sekali seminggu.

"Saya faham, tidak boleh paksa dia buat macam-macam kerana dia masih lagi baru dalam Islam. Biar satu demi satu dia belajar.

"Tetapi apa yang saya lihat, dia yang bersungguh-sungguh apabila
membabitkan hal-hal agama. Macam-macam dia tanya kepada nenek dan ayah
saya terutamanya tentang solat.

"Lebih mengharukan, dengan inisiatif sendiri, dia mengajak ayah saya
sembahyang Jumaat bersama-sama. Dan sebagai isteri saya memberi sokongan
sepenuhnya selain turut belajar bersama dengan dia," ujarnya.

Sementara itu, Eina mengakui, sejak mendirikan rumah tangga, dia mula berubah kepada seorang wanita yang lebih matang.

"Mungkin kerana pergaulan saya dengan suami serta rakan-rakannya,
membuatkan saya lebih matang. Dan saya pun kena kurangkan sikap
kebudak-budakan saya, selari dengan status isteri yang dibawa,"
tuturnya.