Suspek Curi Beg Di Surau Hospital Ditahan


ALOR SETAR - Tindakan seorang wanita yang sanggup mencuri beg sewaktu mangsa sedang menunaikan solat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengundang padah apabila berjaya ditahan petang semalam.

Mangsa, Che Piah Abu, 56, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang semalam, di surau tingkat lima hospital berkenaan.

“Selepas solat saya dapati beg galas mengandungi dokumen penting seperti kad pesara, kad pengenalan saya dan suami serta sedikit wang hilang.

“Saya segera beritahu anak dan dia mengesyaki seorang wanita yang turut berada dalam surau mengambil beg itu lalu segera mencarinya dalam kawasan hospital,” katanya kepada media di HSB, di sini, semalam.

Pesara jururawat Hospital Jitra itu berkata, anaknya berjaya mengesan suspek lalu menyerahkannya kepada pengawal keselamatan bertugas.

“Wanita itu mengaku mencuri beg saya dan menyerahkan semula kad pengenalan kepada saya.

“Bagaimanapun beg itu dia sudah buang ke dalam tong sampah dan apabila dicari, beg sudah tiada di situ,” katanya.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan pengebumian suaminya, pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Setar Azami Rashid, 57, tergendala.

“Sebelum kejadian saya sedang menunggu untuk menuntut jenazah suami yang meninggal dunia kerana strok dan mengikut perancangan mahu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Keramat Jitra sekitar jam 5 petang,” katanya.