Hukum Memberi Zakat Kepada Mangsa Banjir. Banjir yang paling buruk di Malaysia kini telah menyebabkan ramai dipindahkan dan setakat hari ini seramai hampir lebih 200,000 orang dipindahkan di seluruh negeri di Malaysia terutamanya Kelantan. Cara yang terbaik adalah membantu mereka ini yang dilanda bencana banjir untuk terus hidup dengan memberikan bantuan samada kewangan, barangan, keringat tenaga ataupun doa.
Tidak terkecuali ada yang bertanya apakah hukum memberi zakat kepada mangsa banjir. Berikut adalah jawapannya yang dipetik dari Laman Web Rasmi Pejabat Mufti WP
Soalan : Mohon pandangan SS Mufti tentang hukum memberikan zakat kepada mangsa banjir?
Jawapan : Dalam hal ini, perkara yang perlu difahami setiap mangsa kebiasaannya dalam keadaan amat memerlukan bantuan mengikut kadar kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau hartabendanya ranap sebahagian kecil, sebahagiannya atau musnah keseluruhannya. Dalam hal ini, marilah sama-sama kita memahami firman Allah SWT daripada Surah al-Taubah ayat 60.
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٦٠﴾
Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Ayat ini menunjukkan bahawa golongan yang berhak menerima zakat hanya lapan golongan sahaja. Jumhur fuqaha’ berpendapat tidak harus diberikan kepada selain daripada yang dinaskan al-Qur’an iaitu lapan golongan ini.
Mazhab Syafi’i menetapkan bahawa wajib dibahagi kepada semua yang ada dalam kalangan asnaf yang berhak menerima zakat. Sedangkan mazhab yang lain memadai dengan sekumpulan daripada golongan yang berhak menerima zakat sahaja. Ini juga difatwakan oleh Ibn Ajil al-Asma’ie dan ramai dalam kalangan ulama’ mutakihr kerana sukar mencari lapan asnaf. Inilah yang disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin.
Berkenaan dengan isu di atas, sebahagian ulama’ menganggap bahawa ia adalah bencana yang menyebabkan hartabenda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta berhutang samada untuk diri mereka atau keluarga mereka. Justeru, kebanyakan ulama’ memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama’ mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan dan bukan untuk kemewahan atau berfoya-foya.
Oleh kerana itulah kami menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-ghariminyang berhak menerima zakat.
Selain daripada nas di atas, jika dilihat kepada tafsiran ulama’ antaranya Mujahid yang berkata : “3 golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu :
- \Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.
- Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya
- Mereka yang mempunyai tanggungan dan tiada baginya harta untuk di infakkan kepada tanggungannya.
*juga termasuk wanita.
Kenyataan seperti di atas oleh Mujahid adalah bertepatan dengan hadith yang sahih yang dinyatakan daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang berkata :
تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ " أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا " . قَالَ ثُمَّ قَالَ " يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا "
“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. Kata Qabisah : ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.”
(Riwayat Muslim, no. 1044)
Imam al-‘Azim al-Abadi menyatakan: “Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.” [Aun al-Ma’bud 3/36]
Beberapa ulama’ telah memberi fatwa antaranya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata : “Aku khususkan yang mengenai sifat al-gharimin bagi golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang maka hukumnya dibolehkan. [Fiqh al-Zakat 2/623]
Begitu juga dengan Dr. Husamuddin bin Musa ‘Iffanah, Profesor Fiqh dan Usul dari Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini.
Saya berpendapat harus untuk memberi zakat kepada mereka, sebagaimana pendapat-pendapat yang dikemukakan dan saya cenderung untuk mencadangkan supaya hendaklah diberi kepada Baitulmal, seterusnya Baitulmal akan mengenalpasti golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan juga keperluan yang dihajatinya. Ini kerana, jika diberi secara langsung dengan kuantiti yang banyak, dibimbangi sebahagian sahaja yang memperolehnya sedangkan sebahagian yang lain tidak mendapat walaupun sedikit. Justeru, pasti rasa tidak selesa akan terwujud pada kebanyakan golongan yang ditimpa bencana yang tidak dapat apa-apa bantuan atau bantuan yang tidak mencukupi.
Baitulmal hendaklah menggerakkan tenaganya dengan seupaya mungkin bagi menyelesaikan kemelut tersebut dengan secepat mungkin kerana keperluan untuk hidup adalah bersifat segera. Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada yang bertanya dalam menyalurkan bantuan berupa zakat ataupun infaq yang lain bagi membantu saudara-saudara seIslam yang terbabit dalam bencana seperti banjir dan lain-lain. Wallahua’lam
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan
0 Response to "Hukum Memberi Zakat Kepada Mangsa Banjir"
Post a Comment