Dr Mahathir menjawab soalan wartawan selepas majlis di Pusat Belia Antarabangsa. Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati pemimpin Umno supaya tidak memegang kuasa terlalu lama bagi mengelakkan parti Melayu terbesar itu dipenuhi dengan lebih ramai “orang bodoh”.
Bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu berkata, seseorang pemimpin perlu mengetahui had masanya semasa berkuasa.
“Pemimpin perlu tahu hadnya, jangan terlalu lama memegang kuasa.
“Sebaliknya akan berlaku, kamu (parti) akan mempunyai lebih ramai orang bodoh dalam parti,” kata Dr Mahathir dalam satu majlis di International Youth Centre (IYC) hari ini.
Beliau berkata, pemimpin Umno perlu bersikap terbuka untuk menerima mereka yang lebih bijak daripada mereka untuk menjadi pemimpin, bukannya mengamalkan sikap suka mencantas.
“Pemimpin yang teruk adalah apabila mereka menyekat pemimpin yang lebih pandai kerana takut tergugat,” katanya.
Dr Mahathir menegaskan sekiranya seseorang pemimpin tersebut memberikan laluan bukan bermakna beliau lemah sebaliknya orang ramai akan lebih menghargainya.
“Setiap orang perlu menghormati masa mereka, tiba masanya untuk memberi laluan kepada orang lain.
“Sekiranya kamu bersara lebih awal, orang ramai akan lebih menghargai kamu,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai penamaan calon pemilihan Umno baru-baru ini, Dr Mahathir menyifatkan ia suatu petanda sihat berlaku dalam parti tersebut.
“Saya jangka ramai yang akan bertanding tapi ramai juga yang menarik diri.
“Tapi saya lihat ini sebagai satu petanda sihat, jika tidak ia pasti buruk untuk parti kerana orang akan mempersoalkan transformasi yang diperkatakan,” ujarnya lagi.
Dr Mahathir juga menegaskan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tiada pertandingan adalah suatu yang baik bagi mengelakkan perpecahan berlaku.
Dalam pemilihan parti kali ini, Dr Mahathir juga mengesyorkan perwakilan Umno supaya memilih pemimpin yang mempunyai bakat dan potensi, bukannya kerana pengaruhnya.
“Saya harap pada pemilihan kali ini, perwakilan memilih pemimpin yang mempunyai potensi dan berbakat, bukan kerana pengaruhnya,” tegas beliau lagi.
Bekas presiden Umno itu sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Umno sebagai “sudah tua dan bakal mati”.
Katanya, dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasinya memerintah negara ini meskipun ada pihak yang memandang serong malah menuduh dirinya mempunyai agenda sendiri.
Katanya, Umno dahulu sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.
Ketika penggal kepimpinannya dari 1981 sehingga 2003, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan dari kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara “Harimau Ekonomi Asia”.- The Malaysian Insider
Sumber
Sumber
0 Response to "Dr Mahathir: Lepaskan kuasa UMNO supaya ia tidak dipenuhi ramai "ORANG BODOH""
Post a Comment