RANCANGAN Pencetus Ummah yang menyasarkan untuk melahirkan pendakwah muda terus menarik perhatian ramai. Ternyata, ia merupakan rancangan Islamik kedua, selepas Imam Muda yang berjaya menarik perhatian ramai.
Kali ini, setelah melalui saat getir di minggu pertama, Pencetus Ummah (PU) Fidz atau nama sebenarnya Mohd Hafidz Mohd Zawawi dari Machang, Kelantan sekali lagi berada di tiga tangga terbawah.
Di minggu pertama, memperlihatkan gerangan anak muda yang berusia 27 tahun ini bersaing hebat bersama PU Izzat dan PU Salman, namun kali ini dia ‘bergandingan’ pula dengan PU Fakhrul dan PU Hissam.
Biarpun menerima pujian daripada juri tetapnya, Datuk Abu Hassan dan Abby Fana serta juri undangan pada minggu itu iaitu Imam Muda Ashraf, namun entah di mana silapnya, PU Fidz tetap ‘tercalon’ untuk mengisi kedudukan di tiga terbawah itu.
“Sejujurnya, ketika melakukan persembahan di minggu kedua, emosi saya sedikit terganggu menyebabkan saya tidak fokus.
“Tapi, saya berjanji untuk melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang untuk berada dalam PU lagi,” katanya.
Tambahnya, dia menganggap perkara ini sebagai satu ujian dari ALLAH SWT.
“Tambahan pula, bidang agama adalah satu bidang yang baru buat saya berbanding rakan-rakan lain yang punya pengalaman luas dalam bidang ini,” katanya.
Turut berkongsi kedudukan di tangga tiga terbawah ialah PU Fakhrul atau nama sebenarnya, Fakhrul Islam Md Zain dari Melaka.
Katanya, kurang bersedia dan janggal membawa puisi adalah faktor utama kenapa dia berada di kedudukan itu.
“Malah semakin dekat di hari persembahan, saya juga gugup terutamanya dalam penyampaian puisi. Begitu pun, saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan benda baru,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lagi, dia menyerahkan segalanya kepada ALLAH SWT.
Bagi PU Hissam pula, dia meluahkan rasa terkejutnya kerana berada di tiga tangga terbawah.
“Tapi, saya hormat dengan keputusan juri. Ini kerana juri lebih arif dan saya berdoa agar tidak tersingkir minggu depan,” jelasnya.
Undian dibuat 100 peratus oleh juri namun nasib tiga peserta yang berada di tiga terbawah ditentukan oleh undian penonton.
Hafiz menyerlah
Minggu kedua PU menyaksikan 11 peserta berentap sesama sendiri menggunakan kreativiti masing-masing dalam berdakwah.
Keratan akhbar menjadi tajuk utama pada minggu itu.
PU Hafiz mendahului 11 peserta lain dengan 87.67 peratus diikuti dengan PU Yeop dengan nilai 87.00 peratus berkongsi mata dengan PU Shahul.
Sementara itu, PU adalah sebuah program realiti Islamik terbaru di Astro Oasis (saluran 106) bagi meneruskan legasi membentuk masyarakat terutama anak muda ke arah perilaku yang lebih baik dan berakhlak mulia.
Program ini menampilkan Dr Ridhuan Tee Abdullah sebagai pengacara.
Setiap peserta PU turut diberi tunjuk ajar oleh Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Ustaz Zulkefli Hamat dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Razak.
Juara PU akan memenangi wang tunai bernilai RM50,000 dan kereta Toyota Prius C bernilai RM100,000.
Izzat tersingkir
Terdahulu, PU Izzat atau nama sebenarnya Izzat Fathi Hisham pula menjadi peserta pertama yang tersingkir daripada program ini.
Dia terkeluar setelah mendapat undian terendah daripada penonton setelah menjadi antara tiga peserta yang terbawah pada minggu pertama siaran PU.
Meskipun kecewa dengan keputusan itu, anak muda dari Pantai Remis, Perak ini tetap memasang niat untuk meneruskan perjuangannya itu.
“Dalam dakwah tiada erti putus asa. Biarpun tersingkir dalam PU, namun saya akan tetap meneruskan usaha dakwah saya. Masa depan saya masih lagi jauh di luar sana,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga sempat berpesan kepada rakan seangkatannya yang lain.
“Kepada yang lain, teruskan perjuangan anda sekalian. Kalian mempunyai bakat yang besar.
“Ingat! Mengapa kalian berada di sini. Misi kalian adalah untuk berdakwah,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Pencetus Ummah terus tarik perhatian"
Post a Comment