Medan: Seorang wanita separuh usia tersenyum malu ketika keluar dari satu daripada khemah khas di kawasan pemindahan penduduk di Kampung Telagah di daerah Sei Bingeh, Sumatera Utara.
Khemah itu kelihatan biasa saja sama seperti khemah lain yang menjadi tempat perlindungan sementara penduduk terpaksa berpindah dari rumah masing-masing kerana ancaman gunung berapi kecuali satu papan tanda yang membezakannya.
Ia berukuran tiga kali tiga meter dan terletak di kawasan lapang kira-kira 50 meter dari pusat pemindahan.
Pada sisi depannya terpampang papan tanda bertulis: Bilik Asmara.
Khemah yang khusus untuk pasangan kelamin itu turut dibina di dua tempat lain di daerah Karo.
Di dalam setiap khemah itu tersedia tilam dan satu ruang lain yang dijadikan bilik persalinan.
Pada siang hari, ruang di Bilik Asmara itu memang terang benderang dan ketika malam, pengguna boleh meminjam lampu daripada pengawal bertugas yang memantau pusat pemindahan berkenaan.
Tidak perlu bersusah-payah kerana pos pengawal bertugas hanya terletak kira-kira 200 meter dari khemah berkenaan.
Bagi penduduk setempat, mereka menyambut baik kewujudan Bilik Asmara itu kerana memberikan pasangan kelamin waktu meluangkan masa jauh daripada pandangan ramai.
“Bilik itu memang bermanfaat jika ada pasangan ingin memenuhi keperluan batin, terutama selepas kami berlindung di pusat pemindahan ini berbulan-bulan,” kata Riana Sembiring di Kampung Telagah.
Ditanya sama ada dia pernah menggunakan Bilik Asmara itu, Riana, 22, enggan menjawab dengan jelas sebaliknya tersenyum simpul.
“Tidak manis untuk saya bercerita mengenainya kerana ia soal peribadi,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Teguh Malem Sembiring, 37, dari Kuta Rayat pula berkata beberapa pasangan suami isteri pernah memanfaatkan Bilik Asmara itu beberapa kali.
“Tapi kami penduduk Karo tidak semudah itu bercakap mengenainya,” katanya.
Menurut Teguh Malem, apa yang disediakan pihak kerajaan di situ memuaskan.
“Apa yang disediakan di sini lebih daripada mencukupi,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu Ketua Pengawal Kampung Telagah, Teguh Kurniawan berkata Bilik Asmara terbabit dibina oleh Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) bagi memberi kelapangan kepada pasangan kelamin menunaikan hak mereka di pusat pemindahan yang disediakan berkenaan.
“Ia khusus untuk pasangan suami isteri,” katanya.
Menurut Teguh Kurniawan, petugas keselamatan tidak mengambil tahu apa yang berlaku di Bilik Asmara, sebaliknya memantau dari pos kawalan saja.
Setakat ini, katanya, ramai pasangan sudah memasuki Bilik Asmara. Ketua Pusat Media Bencana Sinabung, Jhonson Tarigan pula mengesahkan hampir semua pusat pemindahan sudah menyediakan kemudahan Bilik Asmara.
Gunung Sinabung mula memuntahkan lahar, debu dan asap sejak lima bulan lalu, memaksa kira-kira 32,300 orang atau 9,978 keluarga - meninggalkan rumah masing-masing.
Letusan terbaru minggu lalu mengorbankan 16 orang dan mencederakan seorang yang lain.
Teguh Kurniawan berkata, BPBD berusaha menyediakan semua keperluan kepada penghuni pusat pemindahan itu.
Terletak kira-kira 17 kilometer dari Gunung Sinabung, pasangan yang menggunakan Bilik Asmara pasti berasa syukur dan tenang menggunakan kemudahan yang disediakan kem pemindahan berkenaan. -Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Malu-malu Keluar Dari Bilik 'Asmara'"
Post a Comment