Nota Ringkas Pandangan Peribadi Dr Zaharuddin Pasal Hudud | Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memberi lampu hijau, MT Umno yang juga YDP YADIM sudah beri 'green light', Tengku Razaleigh sudah beri 'green light'. Semoga Kerajaan negeri Kelantan BERJAYA menguatkuasakan undang-undang hudud di negeri Kelantan. Semoga ahli Parlimen beragama Islam dapat sepakat bersetuju di parlimen apabila tiba masanya perlu sokongan mereka.
Biar Kelantan laksanakan, jika ada kelemahan dalam pelaksanaan di sana sini selepas ini, kita pakat baiki sama-sama. Insya-Allah.
Beberapa nota ringkas saya (pandangan peribadi):
1.Hudud hanya akan terjatuh bagi individu yang benar-benar jahat dan sebab itu syaratnya sangat ketat hingga sebahagian pengkritik merasakan 'mustahil' dapat dicari saksi dan bukti sedemikian. Jika tidak cukup syarat maka hukuman ta'zir sahaja yang akan dijatuhkan. Tahap berat hukuman tertakluk kepada peruntukan undang-undang ta'zir dan mengikut kebijaksanaan hakim.
2.Jangan menyangka hukuman hudud sangat mudah dijatuhkan, syarat-syarat perlu diteliti sebelum memberi komentar. Dalam kebanyakan kes, hanya ta'zir akan dijatuhkan kerana tidak cukup bukti untuk hudud dijatuhkan. Contohnya mencuri, tidak akan dipotong tangan kecuali benar-benar yakin dan terbukti pencuri tidak miskin kelaparan, dipaksa, diugut dan lain-lain. Jika terbukti, hudud tidak dijatuhkan.
3.Ulama khilaf sama ada non-muslim terlibat, sebahagian menyatakan non-muslim TIDAK TERLIBAT kecuali jika ada berkaitan dengan Muslim. Dalam kes biasa, Non-Muslim boleh menuntut dihukum dengan hukuman sivil biasa.
4.Jika terdapat non-muslim yang memilih untuk dibicara dengan hukuman hudud, ia diharuskan untuk menghukumnya dengan hukum hudud.
5.Jika kedua-duanya terlibat jenayah dan dibimbangi tidak adil kerana muslim kena hudud dan non-muslim tidak kena, maka hakim boleh membuat keputusan mengadili secara ta'zir bagi kedua-duanya agar seragam hukumannya, khususnya apabila tidak cukup bukti untuk hudud.
6.Jika non-muslimah berzina dengan muslim, atau sebaliknya, terdapat khilaf ulama mazhab. Sebahagian ulama mengatakan keduanya dihukum hudud sebagai hukuman dari keputusan mahkamah negara dan bukan berasaskan keagamaan. Sebahagian lagi menyatakan yang Islam sahaja dikenakan hudud, yang seorang lagi dihukum setimpal melalui ta'zir.
7.Berkenaan kuasa mahkamah syariah tidak memperuntukan hukuman kepada non-muslim, Peruntukan undang-undang terbabit boleh dipinda dengan kuasa 2/3 ahli parlimen. Parlimen perlu meluluskannya. Di sini diperlukan kesatuan ahli parlimen Islam dari PAS, UMNO, PKR & Bebas.
8.Berkenaan wanita tidak boleh menjadi saksi, terdapat pergecualian jika ia di tempat yang tiada lelaki pada kebiasaannya. Selain itu, sebahagian ulama membenarkan wanita yang mencukupi syarat untuk menjadi saksi maka budi bicara hakim adalah terpakai.
9.Jika Non-Muslim merogol muslimah, menurut mazhab maliki, apabila cukup bukti, non-muslim akan dijatuhkan hukuman hudud ke tahap maksimum iaitu hukuman mati kerana pencerobohan secara kekerasan dan jenayah. Muslim juga akan dijatuhi hukuman yang sama.
10.Muslimah yang terbukti dirogol dengan bukti-bukti moden yang meyakinkan walau bukan 4 orang lelaki adil, TIDAK dikenakan hukuman QAZAF sewaktu dia mendakwa seseorang lelaki. namun, keterangan mesti dilakukan secara tertutup agar dakwaan dihalusi dan tidak dihebahkan media sebelum keputusan jitu diperoleh. Hak lelaki yang dituduh akan dijaga sebaiknya juga selagi tidak terbukti bersalah.
11.Non-Muslim yang minum arak TIDAK dikenakan hukuman hudud. Hanya untuk Muslim. Namun itu juga terdapat beberapa ijtihad yang berbeza, sebahagian menegaskannya sebagai hudud dan sebahagian sebagai ta'zir.
Ini hanya sebahagian nota ringkas. Kesimpulannya, hukuman hudud memerlukan penjelasan dan pengajaran besar-besaran di negeri yang mana hukuman ingin dijalankan agar hampir tiada syubhah lagi rakyat di sana TIDAK MENGETAHUI jenis kesalahan dan hukuman.
Didoakan rakyat Kelantan & Brunei dan semua institusi kehakimannya sudah bersedia dengan ilmu dan kebijaksanaan. Kerana tanpa persediaan yang jitu dan mantap lagi adil, pelaksanaan hukuman ini bakal menjadi fitnah besar kepada Islam seluruhnya - Harakah Daily