Pelajar IPTA dimarah peminta sedekah di kedai makan

GELUGOR – Gara-gara tidak menghulurkan wang yang diminta oleh seorang peminta sedekah, seorang remaja dimarahi lelaki berkenaan.
Menceritakan kejadian terbabit, Seri Bainun Muhammad Ashraf, 20, dari Kedah berkata, dia datang bersarapan dengan rakannya pada kira-kira jam 10 pagi di sebuah kedai makan di sini.
Menurutnya, setibanya di restoran terbabit, dia duduk berseorangan kerana dua lagi rakan yang lain sedang mengambil makanan.

Gelagat peminta sedekah mengganggu pelanggan yang menjamu selera.

“Kemudian datang seorang lelaki tua dengan bertongkat ke arah semua orang dan saya tahu dia pasti mahukan duit, ada yang tidak memberinya dengan hanya memberikan isyarat tangan.
“Apabila giliran saya, dia datang dekat dan dia kata hendak duit kerana sakit tetapi saya gelengkan kepala kerana bekas duit saya pada rakan di kaunter, kemudian dia terus marah pada saya dengan tiba-tiba. Saya terkejut kerana sebelumnya dia tidak marah pada lelaki lain yang tidak memberinya duit, warga emas itu marah saya dengan agak kuat sehingga malu saya dibuatnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Seri Bainun yang juga pelajar jurusan ijazah di sebuah universiti di sini berkata, lima minit kemudian rakannya datang segera dan bertanyakan kisah yang berlaku.
Katanya, terdapat beberapa pelayan di situ memberitahu peminta sedekah itu adalah pengunjung tetap di situ dan dia akan datang setiap hari iaitu pada waktu puncak termasuk pagi, petang dan malam.
“Difahamkan bukan sahaja saya yang terkena dengan pakcik itu tetapi ramai lagi. Saya harap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pantau permasalahan pengemis di sini.
“Kita bukan kedekut tetapi situasi sedemikian akan merimaskan ramai pelanggan, ada yang datang ke situ untuk makan dan sebagainya bersama keluarga tetapi diganggu dan ada pula yang dimarahi gara-gara tidak berikan duit, ini tidak patut,” katanya.
Sinar Harian sempat merakamkan gelagat peminta sedekah berkenaan yang sememangnya ada ketika waktu yang dimaklumkan.
Anehnya dia akan berjalan dari meja ke meja dan lelaki terbabit akan menunggu lama sekiranya mana-mana pelanggan tidak memberikannya duit.

0 Response to "Pelajar IPTA dimarah peminta sedekah di kedai makan"

Post a Comment