600,000 Orang Lihat Imej Satelit Cari MH370

LONGMONT, Colorado – Sekitar 600,000 orang telah mengimbas imej-imej satelit DigitalGlobe Inc. untuk mencari petunjuk tentang sebuah pesawat syarikat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang.
Pendedahan itu dibuat firma DigitalGlobe Inc dari Amerika Syarikat (S) itu kepada agensi berita AP kelmarin.
Pengguna laman web firma DigitalGlobe itu boleh menandakan imej yang mereka temui seperti bangkai kapal atau pesawat, bot keselamatan, tumpahan minyak dan bukti-bukti lain.
Laman web satelit itu melancarkan kempen bagi meminta bantuan orang ramai untuk sama-sama membantu dalam operasi mencari pesawat MH370 itu.
Firma berkenaan merancang untuk mengemas kini imej-imej di laman web pencarian berkenaan, www.tomnod.com, pada setiap hari.
Pengarah Kanan Data DigitalGlobe, Shay Har-Noy berkata, sambutan yang kami terima agak menakjubkan.
“Sistem pelayan kami bekerja keras untuk memproses semua maklumat yang diterima,” ujar Har-Noy.
“Selain orang awam, agensi-agensi kerajaan AS turut memiliki akses untuk melihat imej-imej di laman web DigitalGlobe,” tambahnya.
Pesawat tersebut meninggalkan Kuala Lumpur pada Sabtu lepas bersama 227 penumpang dan 12 kru.
Har-Noy memberitahu, DigitalGlobe mula menerima e-mel daripada ramai individu yang berminat menyertai pencarian itu tidak lama selepas pesawat tersebut hilang pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, firma tersebut membekalkan imej satelit untuk lima hingga 10 operasi mencari dan menyelamat di seluruh dunia sejak 18 bulan lalu.
DigitalGlobe yang berpangkalan di negeri Colorado, AS memiliki lima satelit pengimejan di orbit. – AP

0 Response to "600,000 Orang Lihat Imej Satelit Cari MH370"

Post a Comment