Ganesan (depan, kanan) sedang menguruskan mayat adiknya di Hospital Tuanku Ja'afar, semalam. Gambar kecil: Mangsa, Mhittren Ezhuthachan |
Menurut abang mangsa, M Ganesan, 30an, gara-gara tidak sedap hati dengan SMS diterima pada Khamis lalu sekitar jam 12.30 pagi itu menyebabkan ibunya bergegas membuat laporan polis lebih kurang setengah jam kemudian.
“Hancur luluh hati kami sekeluarga apabila dimaklumkan punca kematian Mhittren berkemungkinan akibat dibunuh,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, semalam.
Menceritakan semula saat-saat kehilangan adiknya, Ganesan berkata, lazimnya Mhittren akan balik awal setiap kali keluar rumah. Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku pada Rabu lalu.
“Dia keluar lebih kurang 9 malam kerana mahu berjumpa teman rapat yang tinggal di taman perumahan sama dengan kami. Namun, dia masih tidak pulang walaupun sudah mencecah tengah malam.
“Lebih merisaukan, panggilan kami langsung tidak berjawab selepas ibu menerima SMS terakhir daripada Mhittren,” katanya yang berharap individu bertanggungjawab atas kematian adiknya akan dihadapkan ke muka pengadilan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang memproses air mineral dan menetap di Taman Ulu Beranang, Lenggeng, Nilai dijumpai dalam keadaan terlentang, kira-kira satu kilometer dari jalan
utama Lenggeng - Broga.
“Pencarian dilakukan pihak polis berdasarkan laporan dibuat oleh ibu mangsa yang memberitahu anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar jam 9 malam dengan menaiki motosikal Honda EX5, Rabu lalu.
“Siasatan awal kita menemukan luka pada kening kanan mangsa, dipercayai dipukul menggunakan sejenis objek tumpul. Selain itu, terdapat kesan lebam pada bahagian dada dan luka seakan-akan melecet pada ketiak kanan mangsa,” katanya.
Menurut Abdullah, mayat mangsa kemudian dibawa ke HTJ untuk bedah siasat, sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.
“Setakat ini, polis telah menahan reman seorang lelaki selama tujuh hari dalam usaha mengenal pasti motif pembunuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian