Kuala Lumpur: Menyamar sebagai gadis jutawan dan mempunyai puluhan pangsapuri servis mewah bernilai jutaan ringgit sekitar ibu kota. Itu adalah taktik diguna pakai seorang wanita licik yang berjaya menipu berpuluh mangsa untuk membeli lot pelaburan membabitkan jumlah RM500,000.
Wanita terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Lissa, 29, dikatakan bijak meyakinkan mangsa untuk melabur dalam sektor hartanah diperkenalkan dengan menjanjikan keuntungan lebih 300 peratus dalam tempoh 30 hari.
Kebanyakan mangsa mendakwa mudah diperdaya berikutan suspek menyediakan dokumen lengkap perjanjian serta membawa mangsa membuat surat akuan bersumpah di Pesuruhjaya Sumpah.
Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 27, berkata, dia terpedaya dengan wanita terbabit yang mendakwa kononnya mempunyai aset hartanah mewah selain 10 pangsapuri servis di Jalan Imbi di sini.
Menurutnya, dia mula mengenali Lissa melalui laman sosial Facebook (FB) yang menawarkan skim pelaburan lot pangsapuri mewah miliknya sekitar September lalu.