Punca sebenar anggota polis maut diserang hendap

Punca sebenar anggota polis maut diserang hendap - Dedikasi dua anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa semalam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah akibat diserang hendap sekumpulan warga Indonesia yang cuba ditangkap kerana tiada dokumen pengenalan diri. 


Anggota polis yang terbunuh ialah Koperal Raja Aizam Raja Mohd. 53, manakala rakannya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cedera parah. Kedua-dua anggota polis itu ditetak, ditikam dan dilibas dengan pisau rambo dan parang oleh dua daripada sekumpulan enam warga asing yang bertindak agresif ketika cuba diberkas.

Dalam pergelutan itu, dua lelaki Indonesia yang menyerang anggota polis itu mati ditembak oleh anggota polis yang cedera parah.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kejadian pada pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika dua anggota polis yang menaiki kereta peronda memasuki kawasan perumahan di Taman Sentosa dan terserempak dengan sekumpulan enam warga asing termasuk tiga wanita di Lorong Yusuf Shahbudin 44D.

Dua anggota polis terbabit bertugas di Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kesemua warga asing tersebut tiada dokumen dan menyebabkan Raja Aizam dan Mohd. Aidil cuba menahan mereka.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu, ketika Raja Aizam dan Mohd. Aidil mahu menahan sekumpulan warga Indonesia itu, dua lelaki yang masing-masing bersenjatakan pisau rambo dan parang menyerang dari belakang Raja Aizam dan Mohd. Aidil.

"Serangan itu mengenai belakang kepala, tangan dan muka kedua-dua anggota polis terbabit sebelum Raja Aizam kemudian turut dilibas di perut menyebabkan dia rebah."

Selepas itu, beliau berkata, seorang suspek itu merampas pistol milik Raja Aizam yang sudah rebah dan tersungkur di dalam longkang.

"Suspek itu mengacukan pistol itu ke arah Mohd. Aidil namun Mohd. Aidil bernasib baik kerana suspek tidak tahu menggunakan senjata api itu."

Kesempatan itu diambil Mohd. Aidil untuk merampas semula pistol itu sebelum melepaskan tembakan yang menyebabkan kedua-dua lelaki yang menyerangnya maut.

Salah seorang suspek yang mati mempunyai tatu di bahagian dada.

"Mohd. Aidil kemudian turut mengacukan pistol ke arah empat lagi warga asing lain sebelum sebuah kereta peronda polis datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan."

Sumber: plbgaimacam

0 Response to "Punca sebenar anggota polis maut diserang hendap"

Post a Comment